Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)

  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

SPAD Memeterai Perjanjian Bersama The Combined Bus Services Sdn. Bhd. Bagi Perkhidmatan myBAS Ipoh

Versi ramah pencetakSend by emailPDF version
Khamis, 18 Februari 2016

Kenyataan Media SPAD Memeterai Perjanjian Bersama The Combined Bus Services Sdn. Bhd. Bagi Perkhidmatan myBAS Ipoh  Kuala Lumpur, 18 Februari 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memeterai pada hari ini perjanjian bersama The Combined Bus Services Sdn. Bhd. (TCBS) bagi menyediakan perkhidmatan bas henti-henti baru di Ipoh, Perak di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (Stage Bus Services Transformation, SBST) yang dibiayai oleh kerajaan. Majlis menandatangani itu telah berlangsung di ibu pejabat SPAD, dan telah diwakili oleh Dato’ Sri Cheong Kong Fitt, Pengarah Urusan TCBS dan Dato’ Cheong Peak Sooi, Pengarah Eksekutif TCBS, serta dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Jaafar Albar, Pengerusi SPAD dan Mohd Azharuddin Mat Sah, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD.  Perkhidmatan di bawah jenama myBAS ini akan menawarkan pengangkutan awam yang lebih bersepadu, liputan rangkaian laluan yang lebih baik, laluan-laluan baru serta perkhidmatan bas yang boleh dipercayai. Pengguna akan menikmati peningkatan saling hubungan ke kawasan-kawasan seperti stesen KTM Komuter, lapangan terbang, pusat perniagaan, kawasan perumahan, sekolah-sekolah dan kolej-kolej. Perkhidmatan myBAS Ipoh akan meningkatkan jaringan liputan bas daripada 132 km dengan 12 laluan, kepada 254 km dengan 16 laluan. Perkhidmatan ini akan diintegrasikan dengan stesen KTM serta melibatkan kawasan-kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan sebelum ini; seperti Chemor, RTC Gopeng, Station 18, Menglembu, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Jusco Ipoh dan SMK Gunung Rapat.  Perkhidmatan myBAS Ipoh akan bermula setelah TCBS memenuhi syarat-syarat tertentu di dalam kontrak. Kekerapan perkhidmatan bas, waktu beroperasi dan maklumat jumlah penumpang bas akan dipantau menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS). SPAD juga akan meneliti laporan penilaian bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan boleh dipercayai dan memuaskan pengguna. “Walaupun inisiatif ini digubal bagi kemampanan perkhidmatan bas henti-henti yang menjadi pengangkutan utama di luar Lembah Klang, tujuan utamanya adalah untuk memberikan peningkatan saling hubungan dan perkhidmatan yang boleh dipercayai kepada pengguna tempatan. Ipoh mempunyai jumlah penumpang seramai 5.9 juta orang setahun. Dengan pelaksanaan myBAS, kami berharap untuk meningkatkan jumlah penumpang kepada 8.88 juta di dalam tahun pertama operasi,” kata pengerusi SPAD, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Jaafar Albar. “Kejayaan myBAS di Kangar dan Seremban juga menyaksikan satu peningkatan yang amat menggalakkan. Ini membuktikan bahawa inisiatif ini memberikan manfaat kepada pengguna dan juga diterima baik oleh rakyat,” tambahnya lagi. Di bawah program SBST, pada takat permulaannya, kerajaan akan melaburkan RM100 juta bagi pelaksanaan myBAS di beberapa bandar raya bermula dengan Kangar dan Seremban, diikuti dengan Ipoh dan Kuala Terengganu. Sementara itu, perkhidmatan myBAS di Kangar dan Seremban yang telah bermula pada 1 Ogos 2015 dan 15November 2015, dan telah disambut baik berdasarkan kepada kenaikan jumlah penumpang. Sehingga kini, jumlah penumpang bas di Kangar telah meningkat 50% setelah pelancaran myBAS. Sambutan myBAS Seremban juga sangat menggalakkan dengan peningkatan jumlah penumpang setelah pelancaran Fasa 1 pada November lepas, bermula dengan 4 laluan, di mana jumlah penumpang telah bertambah dari 53,500 kepada 99,000 penumpang pada Disember 2015. |Muat turun fail|

Media