Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)

  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

SPAD MENINGKATKAN AKTIVITI PENGUATKUASAAN SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA

Versi ramah pencetakSend by emailPDF version
Khamis, 15 Februari 2018

KENYATAAN MEDIA

SPAD MENINGKATKAN AKTIVITI PENGUATKUASAAN SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2018 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meningkatkan rondaan serta aktiviti-aktiviti penguatkuasaan ketika rakyat Malaysia memulakan perjalanan mereka balik ke kampung bagi musim perayaan Tahun Baru Cina.

Sebagai satu langkah proaktif, SPAD telah melaksanakan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dan agensi penguatkuasaan lebuh raya selama 17 hari bermula dari 9 sehingga 25 Februari.

Ini termasuk sesi bertemu orang ramai bagi meningkatkan kesedaran di terminal-terminal dan pemeriksaan 24-jam pada 14, 15 dan 18 Februari, semasa pergerakan pengangkutan awam dijangkakan pada tahap tertinggi.

Di antara aktiviti-aktiviti penguatkuasaan terlibat adalah pemeriksaan rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran dan rondaan di kawasan berisiko tinggi. Ini diikuti dengan perangkap kelajuan dan pemantauan menerusi CCTV di Pusat Operasi Lebuh Raya, dengan kerjasama PDRM dan pengendali lebuh raya.

Pasukan penguatkuasaan SPAD juga telah memulakan pemeriksaan di kaunter tiket dan dokumen perjalanan di terminal-terminal bas ekspres. Suruhanjaya juga telah mengeluarkan pekeliling bagi memberikan peringatan kepada pengendali bas ekspres di untuk sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain, serta mematuhi Kod Amalan Keselamatan SPAD (ICOP) dan peraturan keselamatan pada setiap masa.

SPAD tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang yang maksima terhadap pengendali bas yang didapati cuai di dalam menguruskan operasi yang termasuk aspek-aspek seperti keselamatan, penyelenggaraan kenderaan dan pengurusan pemandu. Bergantung kepada keseriusan kesalahan, lesen syarikat bas terbabit boleh digantung atau dibatalkan.

Bagi memastikan terdapat bas yang mencukupi bagi musim perayaan ini, SPAD juga telah meluluskan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) daripada 108 syarikat bas, untuk menyediakan 313 bas tambahan.

Bagi melindungi para penumpang, mereka dinasihatkan untuk membeli tiket daripada kaunter yang sah, Mesin Penjualan Tiket atau melalui perkhidmatan atas talian. Orang ramai juga boleh memainkan peranan mereka di dalam melaporkan mana-mana salah laku pengendali pengangkutan awam darat kepada SPAD melalui talian 24-jam, 1-800-88-7723, emel kepada aduan@spad.gov.my atau tweet kepada @aduanSPAD. Mereka juga boleh memuat turun aplikasi MeterOn bagi peranti Android dan iOS bagi menjejaki perjalanan dan kelajuan mereka melalui GPS, memeriksa maklumat mengenai pengendali bas ekspres dan menghantar laporan terus kepada SPAD.


En. Zamri Mahmud, Ketua Bahagian Pengangkutan Awam Jalan, SPAD bersama Pn. Sahara Tawil, Penolong Pengarah, JKJR dan barisan pengurusan SPAD sedang memeriksa penjualan tiket di Terminal TBS.


Berinteraksi bersama penumpang di balai berlepas, TBS.


Pemeriksaan dokumen bas ekspres.


Berinteraksi bersama penumpang bas ekspres menuju ke Johor Bahru.


Orang ramai sedang membeli tiket di Terminal TBS.

|Muat Turun Fail|

 

Media