Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)

  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

SPAD MENGINGATKAN PENGENDALI PENGANGKUTAN AWAM DARAT SUPAYA MEMATUHI UNDANG-UNDANG SEMASA MUSIM PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI 2017

Versi ramah pencetakSend by emailPDF version
Jumaat, 16 Jun 2017

KENYATAAN MEDIA 

SPAD MENGINGATKAN PENGENDALI PENGANGKUTAN AWAM DARAT SUPAYA MEMATUHI UNDANG-UNDANG SEMASA MUSIM PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI 2017 

16 JUN 2017, KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan ketika rakyat Malaysia memulakan perjalanan balik kampung bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017. 

Sebagai langkah proaktif, Suruhanjaya telah mula menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara intensif selama 21-hari bersama PDRM, JPJ, JKJR dan Pihak Penguatkuasa Lebuhraya bermula daripada 12 Jun 2017 dan ini akan berlangsung sehingga 2 Julai 2017. Ini termasuk operasi sepanjang 24-jam daripada 22 Jun sehingga 27 Jun dan 30 Jun sehingga 2 Julai semasa pergerakan pengangkutan awam dijangkakan berada di tahap tertinggi. 

Di antara aktiviti-aktiviti yang turut dilaksanakan dengan kerjasama polis dan penguatkuasa lebuhraya bagi menangani isu pengendali dan pemandu yang melanggar undang-undang atau peraturan adalah termasuk: audit penguatkuasaan terhadap rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran, rondaan di lokasi berisiko tinggi dan perangkap kelajuan serta pemantauan CCTV di Pusat Operasi Lebuhraya. 

Melalui tindakan bersepadu seperti ini, pada musim sambutan Tahun Baru Cina 2017, SPAD mencatat penurunan di dalam jumlah aduan daripada penumpang bas ekspres, iaitu 41 aduan berbanding dengan 70 aduan pada musim perayaan tahun 2016. Pada Tahun Baru Cina 2017 juga, hanya 127 kesalahan sahaja direkodkan berbanding 248 bagi tahun 2016 dan 233 pada tahun 2015. Pada musim perayaan itu, hanya satu kes kemalangan yang melibatkan kecederaan ringan direkodkan. 

Pasukan penguatkuasaan SPAD juga telah memulakan pemeriksaan kaunter-kaunter tiket dan dokumen di terminal-terminal bas. Suruhanjaya juga telah mengeluarkan pekeliling untuk mengingatkan pengendali bas ekspres di seluruh negara agar sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya melalui penekanan terhadap pematuhan Kod Amalan Industri SPAD (ICOP) serta peraturan keselamatan pada setiap masa. 

Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang yang sepenuhnya terhadap pengendali yang didapati cuai dalam pengurusan operasi. Ini merangkumi aspek keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan kenderaan. Bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan, lesen pengendali syarikat bas boleh digantung atau dibatalkan. Di dalam kes-kes berat pula, keseluruhan kumpulan kenderaan milik syarikat bertanggungjawab boleh digantung sementara menunggu audit keselamatan dijalankan. 

Orang ramai juga dapat memainkan peranan mereka dengan membuat laporan kepada SPAD sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan oleh pengendali melalui hotline 24-jam SPAD di 1-800-88-SPAD (7723), menerusi emel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD. 

|Muat Turun Fail|

Media